Roti Boy / Mexican Bun

roti boy

Roti Boy / Mexican Bun

Resepi asal adalah dari Diana @ MyResepi, tapi saya telah kurangkan sukatannya kepada 2 bahagian. Kalau ikut resepi asal, untuk 500 gm tepung roti, hasil roti akan dapat 17 biji. Tapi, saya menggunakan tepung superfine, dapat roti 13 biji. Agaknya tepung roti tu lain kot dengan tepung superfine. Tak kisah la, yang penting, saya amat berpuas hati dengan roti ni.

Bahan-Bahan

· # Bahan untuk Inti #
· 50 gram mentega bergaram, dilembutkan
· 1/4 sudu teh esen vanilla
· 25 gram gula perang

· # Bahan untuk Topping #
· 50 gram mentega, dilembutkan
· 40 gram gula aising, diayak
· 1 biji telur, dipukul sedikit
· 1 1/2 sudu makan NESCAFE dicampurkan dengan 1 sudu besar air
· 50 gram tepung serbaguna, diayak

· # Bahan untuk Doh Manis #
· 250 gram tepung roti, diayak (saya guna tepung superfine)
· 10 gram tepung susu, diayak (saya tak guna, sebab dah guna susu segar)
· 35 gram gula kaster
· 1/2 sudu teh) garam
· 1 1/2 sudu teh yis segera
· 1/2 biji telur, dipukul sedikit
· 135 gram (135 ml) air atau susu segar (kalau sudah menggunakan susu tepung jangan guna susu tapi gunakan air) – (saya guna susu segar)
· 30 gram mentega, dilembutkan

Cik suami saya tengah pipekan topping kat atas roti sebelum roti masuk oven

Roti yang sudah sedia untuk dibakar

Cara-cara
1. Cara untuk Intinya : Pukul mentega dalam mixer pada kelajuan sederhana selama 3 minit. Masukkan esen vanilla dan gula perang dan pukul hingga sebati. Tuangkan adunan kedalam mangkuk dan bekukan dalam peti sejuk sehingga sedia untuk digunakan.

2. Cara untuk Topping : Pukul mentega dan gula aising pada kelajuan sederhana selama 5 minit sehingga adunan ringan dan gebu. Masukkan telur sedikit demi sedikit. Masukkan esen kopi atau NESCAFE. Masukkan tepung dan putar pada kelajuan perlahan sehingga semuanya sebati. Masukkan kedalam piping bag (saya masukkan dalam plastik je, sebab tiada piping bag) dan sejukkan dalam peti sejuk sehingga sedia untuk digunakan.

3. Cara untuk Doh Manis Campurkan tepung yang telah diayak, gula kaster dan garam didalam mixer dan putar pada kelajuan perlahan selama 1 minit. Masukkan yis, telur dan air. Putar selama 1 minit pada kelajuan perlahan dan kemudian pada kelajuan sederhana selama 8 minit. Masukkan butter dan gaul hingga sebati selama 5 minit pada kelajuan sederhana sehingga adunan roti menjadi lembut dan licin. (Selepas menguli gunakan mixer, saya uli doh dengan menggunakan tangan sambil ambil sedikit demi sedikit tepung gandum sehingga doh kelihatan licin dan lembut) Kemudian bulatkan adunan setiap bahagian 50 gram (boleh dapat 13 bahagian). Bentukkan bulat. Tutup dengan kain lembab dan biarkan selama 10 minit.

4. Cara untuk membuat Roti Boy : Menggunakan telapak tangan leperkan adunan roti. Letakkan inti ditangan dan tutup dan kemaskan (mesti tutup betul kalau tidak sewaktu membakar inti akan terkeluar dan cair). Bentukkan bulat dan letakkan atas loyang pembakar yang telah disapu mentega. Ulangi untuk bulatan roti yang lain. Letakkan roti pada jarak 7.5cm diatas loyang pembakar. Ketepikan untuk diperap selama 45 minit didalam suhu suam. Pipe toppping diatas roti bentuk spiral (bulat-bulat) bermula dari tengah. Bakar pada suhu 170 darjah C selama 15-20 minit atau sehingga roti kekuningan.

Memang best bila dapat hasilkan sendiri roti ni, roti kegemaran saya sekaluarga. Jadi, apa tunggu lagi, mari mencuba!

  • Add Your Comment